1 Allah memberkati Nuh dan anak-anaknya, serta berfirman kepada mereka, “Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak supaya keturunan kamu mendiami seluruh bumi.
2 Semua burung dan ikan, serta binatang lain akan takut kepada kamu; semuanya berada dalam kekuasaan kamu.
3 Kini kamu boleh makan semuanya, serta tumbuh-tumbuhan hijau; Aku memberikan semua itu kepada kamu sebagai makanan.
4 Hanya daging yang masih berdarah tidak boleh kamu makan, kerana nyawa itu terkandung di dalam darah.