1 Inilah perkhabaran yang diberikan TUHAN kepada Hosea anak Beeri pada masa Raja Uzia, Raja Yotam, Raja Ahas, dan Raja Hizkia menjadi raja di Yehuda, dan Raja Yerobeam putera Raja Yehoas menjadi raja di Israel.
2 Ketika TUHAN berfirman kepada Israel untuk pertama kali melalui Hosea, Dia berfirman, “Kahwinlah dengan seorang perempuan yang suka melacur; dan anak-anakmu juga akan menjadi seperti dia. Umat-Ku sama seperti isterimu itu; mereka tidak setia kepada-Ku dan telah meninggalkan Aku.”
3 Oleh itu Hosea berkahwin dengan Gomer anak Diblaim. Gomer mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki.
4 TUHAN berfirman kepadanya, “Namakanlah anak itu ‘Yizreel’, kerana tidak lama lagi Aku akan menghukum raja Israel untuk membalas pembunuhan yang dilakukan nenek moyangnya, Yehu, di Yizreel. Aku akan menamatkan pemerintahan keturunan Yehu di Israel.
5 Pada masa itu di Lembah Yizreel, Aku akan menghancurkan kuasa tentera Israel.”
6 Kemudian Gomer mengandung lagi dan melahirkan seorang anak perempuan. TUHAN berfirman kepada Hosea, “Namakanlah anak itu ‘Tidak Dikasihani’, sebab Aku tidak akan mengasihani atau mengampuni suku Israel lagi.
7 Tetapi Aku akan mengasihani suku Yehuda. Aku, TUHAN, Allah mereka akan menyelamatkan mereka, tetapi bukan dengan peperangan - bukan dengan pedang, atau busur dan panah, atau kuda dan penunggangnya.”