Hosea 6 BMDC

Umat Israel Tidak Sungguh-Sungguh Bertaubat

1 Umat Israel berkata, “Marilah kita kembali kepada TUHAN. Dia telah menyakiti kita, tetapi tentu Dia akan menyembuhkan kita pula. Dia telah melukai kita, tetapi tentu Dia akan membalut luka-luka kita.

2 Selepas dua atau tiga hari Dia akan menyembuhkan kita dan kita akan hidup di hadirat-Nya.

3 Marilah kita berusaha untuk mengenal TUHAN. Dia pasti akan datang kepada kita seperti fajar menyingsing, dan seperti hujan yang membasahi bumi pada musim bunga.”

4 Tetapi TUHAN berfirman, “Hai Israel dan Yehuda, apakah yang harus Aku lakukan terhadap kamu? Kasih kamu terhadap Aku cepat hilang seperti kabus atau embun pada waktu pagi-pagi.

5 Oleh itu Aku mengutus nabi-nabi-Ku untuk menyampaikan perkhabaran-Ku kepada kamu bahawa kamu harus dihukum dan dibinasakan. Yang Aku inginkan daripada kamu sudah nyata dan jelas.

6 Aku lebih ingin kamu mengasihi Aku daripada kamu mempersembahkan korban kepada-Ku. Aku lebih suka kamu mengenal Aku daripada membakar korban untuk-Ku.

7 Tetapi sebaik sahaja kamu menduduki tanah di Adam, kamu memungkiri perjanjian-Ku dengan kamu.

8 Gilead merupakan kota yang penuh dengan penjahat dan pembunuh.

9 Imam-imam di kota itu seperti sekumpulan perompak yang melakukan serangan hendap terhadap orang yang lalu lalang. Bahkan di jalan yang menuju ke tempat suci di Sikhem pun mereka melakukan pembunuhan. Mereka sengaja melakukan semua perkara yang keji itu.

10 Aku telah melihat sesuatu yang dahsyat di Israel: umat-Ku telah menajiskan diri dengan menyembah berhala.

11 Bagi kamu, hai orang Yehuda, Aku telah menentukan masa untuk menghukum kamu juga kerana perbuatan kamu.”

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14