Hosea 13 BMDC

Allah Menjatuhkan Hukuman Terakhir kepada Israel

1 Pada masa dahulu ketika suku Efraim berucap, suku-suku lain di Israel takut. Mereka sangat menghormati Efraim, tetapi sekarang suku Efraim berdosa. Mereka menyembah Baal, oleh itu mereka akan mati.

2 Mereka terus-menerus berdosa dengan membuat patung-patung logam untuk disembah - patung daripada perak, yang dirancang oleh akal manusia dan dibentuk oleh tangan manusia. Lalu mereka berkata, “Persembahkanlah korban kepada berhala-berhala ini!” Aneh, manusia mencium patung anak lembu!

3 Oleh itu mereka akan lenyap seperti kabus atau embun pada pagi hari. Mereka akan menjadi seperti sekam yang ditiup oleh angin dari tempat mengirik gandum, dan seperti asap yang keluar dari cerobong dapur.

4 TUHAN berfirman, “Akulah TUHAN, Allah kamu yang telah memimpin kamu keluar dari Mesir. Kamu tidak mempunyai Allah selain Aku. Akulah satu-satunya penyelamat kamu.

5 Aku telah memelihara kamu di padang gurun yang gersang.

6 Tetapi setelah kamu berada di negeri yang baik, dan kamu kenyang serta puas, kamu menjadi sombong dan lupa akan Aku.

7 Oleh itu Aku akan menyerang kamu seperti singa. Seperti harimau bintang Aku akan menanti-nanti untuk menyerang kamu di jalan.

8 Aku akan menyerang kamu seperti beruang yang kehilangan anak. Aku akan menyiat-nyiat kamu. Seperti singa Aku akan menerkam kamu di situ, dan seperti binatang buas Aku akan mencabik-cabik kamu.

9 Aku akan membinasakan kamu, hai orang Israel! Siapakah yang dapat menolong kamu?

10 Kamu meminta raja dan pemimpin, tetapi dapatkah mereka menyelamatkan bangsa ini?

11 Dengan murka Aku memberi kamu raja-raja, tetapi dengan geram Aku telah mengambil mereka pergi.

12 Dosa dan kesalahan Israel telah dicatat, dan catatannya disimpan.

13 Israel mempunyai peluang untuk hidup, tetapi Israel sangat bodoh sehingga tidak menggunakan peluang itu. Israel seperti bayi yang hampir lahir tetapi tidak mahu keluar dari rahim ibu.

14 Aku tidak akan menyelamatkan umat ini dari dunia orang mati atau daripada kuasa maut. Hai maut, datangkanlah wabak! Hai dunia orang mati, datangkanlah kebinasaan! Aku tidak mengasihani umat ini lagi.

15 Meskipun Israel akan makmur seperti rumput yang subur, Aku akan mengirim angin timur yang panas dari padang gurun dan mengeringkan perigi dan mata airnya. Segala yang berharga akan diambil daripadanya.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14