1 TUHAN mempunyai tuduhan terhadap orang yang tinggal di negeri ini. Hai Israel, dengarlah firman TUHAN. Inilah tuduhan-Nya: “Negeri ini tidak mengenal makna kesetiaan ataupun kasih. Penduduknya tidak mengakui Aku sebagai Allah.
2 Mereka berjanji, tetapi tidak menepati janji. Mereka membohong, membunuh, mencuri, dan berzina. Jenayah semakin bertambah dan pembunuhan terjadi susul-menyusul.
3 Oleh itu tanah mereka akan menjadi kering dan segala sesuatu yang hidup di atasnya akan mati. Segala binatang dan burung, bahkan ikan pun akan mati.”
4 TUHAN berfirman, “Janganlah sesiapa menuduh atau menyalahkan umat-Ku. Tuduhan-Ku terhadap kamu, para imam.
5 Siang malam kamu melakukan kesalahan. Nabi-nabi kamu pun demikian. Oleh itu, Aku akan membinasakan Israel, ibu kamu.
6 Umat-Ku binasa kerana mereka tidak mahu mengakui Aku. Kamu, imam-imam, tidak mempedulikan Aku dan telah menolak ajaran-Ku. Oleh itu Aku pun akan menolak kamu dan tidak mengakui anak-anak kamu sebagai imam-Ku.
7 Semakin kamu bertambah banyak, semakin banyak dosa kamu terhadap Aku, hai imam-imam. Maka Aku akan mengubah keadaan kamu. Kamu tidak akan dihormati lagi, melainkan dihina.
8 Kamu menjadi kaya kerana dosa umat-Ku, dan oleh itu kamu suka mereka berdosa terus.
9 Kamu akan menanggung hukuman seperti mereka. Aku akan menghukum kamu setimpal dengan kejahatan yang telah kamu lakukan.
10 Kamu akan makan bahagian kamu daripada korban yang dipersembahkan, tetapi kamu akan tetap lapar. Kamu akan menyembah dewa-dewa kesuburan, tetapi kamu tetap tidak mendapat anak. Semua hal itu terjadi kerana kamu telah meninggalkan Aku untuk menyembah tuhan-tuhan lain.”
11 TUHAN berfirman “Wain, baik yang lama atau yang baru telah merosakkan fikiran umat-Ku.
12 Mereka minta petunjuk daripada sebatang kayu. Sebatang tongkat memberitahu mereka apa yang ingin diketahui mereka. Mereka telah meninggalkan Aku. Seperti seorang wanita yang menjadi pelacur, mereka telah menyerahkan diri kepada tuhan-tuhan lain.
13 Mereka mempersembahkan korban di tempat-tempat penyembahan berhala di gunung. Mereka membakar kemenyan di bukit, di bawah pokok-pokok besar yang rendang kerana tempat itu teduh.Akibatnya anak-anak perempuan kamu menjadi pelacur, dan menantu-menantu perempuan kamu berzina.
14 Tetapi Aku tidak akan menghukum mereka untuk perbuatan itu, oleh sebab kamu sendiri pun berzina dengan pelacur-pelacur yang bekerja di rumah berhala. Bersama-sama mereka, kamu mempersembahkan korban kepada dewa. Sungguh benar ungkapan ini, ‘Bangsa yang tidak mempunyai pengertian tentang Allah akan binasa.’
15 Meskipun kamu, umat Israel tidak setia kepada-Ku, jangan pula kamu, Yehuda berbuat demikian. Jangan beribadat di Gilgal, atau di Betel. Jangan buat janji-janji di sana demi nama TUHAN yang hidup.
16 Umat Israel keras kepala seperti baghal. Bagaimanakah Aku dapat menggembalakan mereka seperti domba di padang rumput?
17 Umat Israel sudah terpikat oleh berhala. Oleh itu biarkanlah mereka.
18 Setelah banyak minum wain, mereka melacur dengan senang hati. Mereka lebih suka dihina daripada dihormati.
19 Mereka akan dibawa pergi seolah-olah ditiup oleh angin. Mereka akan mendapat malu kerana korban-korban yang dipersembahkan mereka kepada dewa-dewa.