Hosea 12 BMDC

Israel dan Yehuda Dijatuhi Hukuman

1 TUHAN berfirman, “Bangsa Israel telah mengelilingi Aku dengan dusta dan tipu daya, dan bangsa Yehuda masih juga memberontak terhadap Aku, Allah yang suci dan setia.

2 Segala yang dilakukan oleh orang Israel dari pagi hingga petang semuanya tidak berguna, malahan bersifat memusnahkan seperti angin timur. Dusta dan kekejaman semakin meningkat di kalangan mereka. Mereka membuat perjanjian dengan Asyur dan juga membawa minyak ke Mesir sebagai tanda persahabatan.”

3 TUHAN mempunyai tuduhan terhadap orang Yehuda; dan Dia akan menghukum orang Israel juga kerana tingkah laku mereka. Dia akan membalas perbuatan mereka.

4 Nenek moyang mereka, Yakub, menipu Esau, saudara kembarnya ketika mereka berdua masih di dalam rahim ibu, dan setelah dewasa Yakub melawan Allah.

5 Yakub bergelut dengan malaikat dan menang. Yakub menangis meminta berkat, lalu Allah datang kepadanya di Betel dan berfirman kepada dia.

6 Allah itu TUHAN Yang Maha Kuasa. Nama-Nya TUHAN. Dengan nama itulah Dia menghendaki orang beribadat kepada-Nya.

7 Oleh itu, hai kamu keturunan Yakub, percayalah kepada Allah kamu, dan kembalilah kepada-Nya. Hiduplah dengan penuh kasih dan berlakulah adil, dan tunggulah dengan sabar sehingga Allah kamu bertindak.

Firman Selanjutnya tentang Hukuman atas Israel

8 TUHAN berfirman kepada orang Israel, “Kamu curang seperti orang Kanaan. Peniaga kamu suka menipu pelanggan dengan timbangan yang tidak tepat.

9 Kata mereka, ‘Kami kaya sekarang. Kami mempunyai banyak harta. Tiada sesiapa pun dapat menuduh kami berlaku curang.’

10 Akulah TUHAN, Allah kamu yang telah memimpin kamu keluar dari Mesir; Aku akan membuat kamu tinggal di dalam khemah lagi seperti dahulu, pada masa Aku datang kepada kamu di padang gurun.

11 Aku telah berfirman kepada nabi-nabi, serta memberi mereka banyak penglihatan, dan melalui mereka Aku memberikan amaran kepada umat-Ku.

12 Namun, masih ada yang menyembah berhala di Gilead dan mempersembahkan lembu di atas mazbah di Gilgal. Tetapi mereka yang menyembah berhala itu akan mati, dan mazbah-mazbah di Gilgal akan menjadi timbunan batu di padang.”

13 Nenek moyang kita, Yakub, terpaksa lari ke negeri Mesopotamia. Di sana dia bekerja bagi orang lain sebagai gembala domba untuk mendapat isteri.

14 TUHAN mengutus seorang nabi untuk membebaskan orang Israel daripada perhambaan di Mesir, dan untuk menjaga mereka.

15 Orang Israel membuat TUHAN amat murka; mereka patut dihukum mati kerana kejahatan mereka. TUHAN akan menghukum mereka kerana mereka menghina Dia.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14