6 Berhala itu akan dibawa ke Asyur untuk dipersembahkan kepada raja yang agung. Israel akan dihina dan dipermalukan kerana nasihat yang telah diturutinya.
7 Raja Samaria akan binasa seperti potongan kayu yang dihanyutkan air.
8 Tempat-tempat orang Israel menyembah berhala di puncak bukit di Betel akan dimusnahkan. Semak berduri serta rumput akan meliputi mazbah-mazbah mereka. Lalu orang akan berseru kepada gunung-gunung, “Sembunyikanlah kami!” dan kepada bukit-bukit, “Timpalah kami!”
9 TUHAN berfirman, “Orang Israel belum lagi berhenti berdosa terhadap Aku sejak mereka berdosa di Gibea. Oleh itu mereka akan ditimpa peperangan di Gibea.
10 Aku akan menyerang orang yang berdosa ini dan menghukum mereka. Bangsa-bangsa akan bersekutu untuk melawan mereka, dan mereka akan dihukum kerana dosa mereka yang banyak itu.
11 Dahulu Israel seperti lembu muda yang terlatih, dan sentiasa sedia mengirik gandum. Aku tidak perlu memasang kok pada tengkoknya yang elok itu. Tetapi sekarang Aku telah membuat keputusan untuk memaksanya bekerja berat. Aku menyuruh Yehuda membajak dan Israel menarik garu.
12 Aku berfirman, ‘Bukalah tanah baru untuk kamu sendiri, taburlah benih keadilan, dan tuailah berkat yang dihasilkan oleh kesungguhan cinta kamu kepada Aku. Sudah tiba masanya kamu kembali kepada-Ku, TUHAN kamu; Aku akan datang dan mencurahkan berkat kepada kamu.’