1 TUHAN berfirman, “Bangsa Israel telah mengelilingi Aku dengan dusta dan tipu daya, dan bangsa Yehuda masih juga memberontak terhadap Aku, Allah yang suci dan setia.
2 Segala yang dilakukan oleh orang Israel dari pagi hingga petang semuanya tidak berguna, malahan bersifat memusnahkan seperti angin timur. Dusta dan kekejaman semakin meningkat di kalangan mereka. Mereka membuat perjanjian dengan Asyur dan juga membawa minyak ke Mesir sebagai tanda persahabatan.”
3 TUHAN mempunyai tuduhan terhadap orang Yehuda; dan Dia akan menghukum orang Israel juga kerana tingkah laku mereka. Dia akan membalas perbuatan mereka.
4 Nenek moyang mereka, Yakub, menipu Esau, saudara kembarnya ketika mereka berdua masih di dalam rahim ibu, dan setelah dewasa Yakub melawan Allah.
5 Yakub bergelut dengan malaikat dan menang. Yakub menangis meminta berkat, lalu Allah datang kepadanya di Betel dan berfirman kepada dia.
6 Allah itu TUHAN Yang Maha Kuasa. Nama-Nya TUHAN. Dengan nama itulah Dia menghendaki orang beribadat kepada-Nya.