3 TUHAN mempunyai tuduhan terhadap orang Yehuda; dan Dia akan menghukum orang Israel juga kerana tingkah laku mereka. Dia akan membalas perbuatan mereka.
4 Nenek moyang mereka, Yakub, menipu Esau, saudara kembarnya ketika mereka berdua masih di dalam rahim ibu, dan setelah dewasa Yakub melawan Allah.
5 Yakub bergelut dengan malaikat dan menang. Yakub menangis meminta berkat, lalu Allah datang kepadanya di Betel dan berfirman kepada dia.
6 Allah itu TUHAN Yang Maha Kuasa. Nama-Nya TUHAN. Dengan nama itulah Dia menghendaki orang beribadat kepada-Nya.
7 Oleh itu, hai kamu keturunan Yakub, percayalah kepada Allah kamu, dan kembalilah kepada-Nya. Hiduplah dengan penuh kasih dan berlakulah adil, dan tunggulah dengan sabar sehingga Allah kamu bertindak.
8 TUHAN berfirman kepada orang Israel, “Kamu curang seperti orang Kanaan. Peniaga kamu suka menipu pelanggan dengan timbangan yang tidak tepat.
9 Kata mereka, ‘Kami kaya sekarang. Kami mempunyai banyak harta. Tiada sesiapa pun dapat menuduh kami berlaku curang.’