3 TUHAN berfirman, “Dengan tipu daya dan perbuatan jahat, rakyat cuba menyenangkan hati raja dan pegawai-pegawainya.
4 Mereka semua kejam dan tidak setia. Kebencian mereka seperti api di dalam ketuhar, yang tidak dikobarkan oleh si pembuat roti sebelum adunan siap untuk dibakar.
5 Pada hari pesta raja, mereka membuat raja serta pegawai-pegawainya minum wain sampai mabuk dan melakukan hal-hal yang bodoh.
6 Komplot mereka bagaikan api yang menyala-nyala di dalam ketuhar. Kemarahan mereka membara di dalam hati sepanjang malam, dan menjadi nyala api yang mengganas pada pagi hari.
7 Dalam kemarahan, mereka membunuh pemimpin-pemimpin mereka. Raja-raja mereka dibunuh seorang demi seorang, tetapi tiada seorang pun berdoa kepada-Ku untuk minta tolong.”
8 TUHAN berfirman “Orang Israel seperti roti setengah masak. Mereka bergantung kepada bangsa-bangsa di sekeliling mereka.
9 Mereka tidak sedar bahawa perbuatan ini telah melemahkan mereka. Akhir riwayat mereka sudah dekat, tetapi mereka tidak mengetahuinya.