4 Di negeri-negeri itu kamu tidak akan dapat mempersembahkan wain dan korban binatang untuk menyenangkan hati TUHAN. Makanan kamu akan menajiskan semua orang yang memakannya, seperti makanan yang dimakan pada masa upacara penguburan. Makanan kamu hanya untuk menahan lapar; sedikit pun tidak akan dibawa sebagai persembahan ke Rumah TUHAN.
5 Pada masa perayaan agama untuk menghormati TUHAN, kamu tidak akan dapat melakukan apa-apa untuk merayakannya.
6 Apabila malapetaka tiba dan rakyat tercerai-cerai, orang Mesir akan mengumpulkan kamu untuk dibunuh dan untuk dikuburkan di Memfis! Harta kamu daripada perak dan tempat rumah kamu dahulu akan diliputi rumput dan semak berduri.
7 Masa penghukuman telah tiba, masa untuk menerima pembalasan. Israel akan tahu apabila perkara ini berlaku. Kamu berkata, “Nabi ini bodoh. Utusan Allah ini gila.” Kamu begitu membenci aku kerana dosa kamu sangat besar.
8 Allah telah mengutus aku sebagai nabi untuk memberikan amaran kepada umat-Nya Israel. Namun ke mana sahaja aku pergi, kamu berusaha untuk memerangkap aku seperti memerangkap burung. Di negeri milik Allah sendiri, nabi-nabi-Nya dimusuhi rakyat.
9 Perbuatan kamu sangat jahat, seperti yang pernah dilakukan orang di Gibea. TUHAN akan mengingat dosa kamu dan menghukum kamu.
10 TUHAN berfirman, “Ketika Aku mula-mula menemukan Israel, Aku gembira seperti orang menemukan buah anggur di padang gurun. Apabila Aku mula-mula nampak nenek moyang kamu, Aku senang hati seperti orang nampak buah ara yang mula-mula masak pada musim buah. Tetapi apabila mereka sampai di Gunung Peor, mereka mula menyembah Baal, sehingga mereka menjijikkan seperti berhala-berhala yang dicintai mereka.