24 Setelah anak itu bercerai susu, Hana membawa dia ke rumah TUHAN di Silo. Pada masa itu Samuel masih sangat kecil. Hana juga membawa seekor lembu jantan yang berumur tiga tahun, sepuluh kilogram tepung gandum, dan satu kirbat wain.
25 Setelah mereka menyembelih lembu itu, mereka menghantar Samuel kepada Eli.
26 Hana berkata kepada Eli, “Tuan, masih ingatkah tuan akan saya? Sayalah perempuan yang tuan nampak berdiri di sini dahulu, yang berdoa kepada TUHAN.
27 Saya minta anak ini daripada TUHAN, dan Dia sudah mengabulkan permintaan saya.
28 Oleh itu saya menyerahkan anak ini kepada TUHAN. Anak ini akan menjadi milik TUHAN seumur hidupnya.”Selepas itu mereka beribadat kepada TUHAN di situ.