1 Samuel 5 BM

Tabut Perjanjian di tengah-tengah Orang Filistin

1 Setelah orang Filistin merampas Tabut Perjanjian, mereka membawanya dari Eben-Haezer ke Asdod, kota mereka.

2 Di kota itu, mereka membawa Tabut Perjanjian ke dalam kuil Dagon, dewa mereka. Mereka meletakkan Tabut itu di sisi patung dewa itu.

3 Keesokan paginya, ketika penduduk Asdod pergi ke kuil itu, mereka nampak patung Dagon tertelungkup ke tanah di hadapan Tabut Perjanjian TUHAN. Kemudian mereka mengangkat patung itu dan mengembalikannya ke tempatnya.

4 Pada keesokan harinya, mereka nampak patung itu terjatuh lagi di hadapan Tabut Perjanjian. Kali ini kepala patung itu dan kedua-dua lengannya terpenggal dan terletak di ambang pintu; hanya badan patung itu yang masih utuh. (

5 Itulah sebabnya, hingga sekarang di Asdod para imam Dagon dan semua pemujanya melangkahi ambang pintu kuil Dagon dan tidak menginjaknya.)

6 TUHAN menghukum penduduk Asdod dengan berat sekali, dan menakutkan mereka. Dia menghukum mereka dan penduduk di daerah sekitar dengan bengkak-bengkak pada tubuh mereka.

7 Ketika mereka nampak apa yang sedang berlaku, mereka berkata, “Allah Israel menghukum kita dan Dagon, dewa kita. Kita tidak boleh membiarkan Tabut Perjanjian itu tinggal di sini lagi.”

8 Oleh itu mereka menjemput kelima-lima orang raja Filistin supaya berkumpul, lalu bertanya, “Apakah yang harus kita lakukan dengan Tabut Perjanjian Allah umat Israel itu?”Raja-raja itu menjawab, “Pindahkanlah Tabut itu ke kota Gat.” Lalu Tabut itu dipindahkan ke Gat, sebuah kota Filistin yang lain.

9 Tetapi setelah Tabut itu sampai di sana, TUHAN menghukum penduduk kota itu juga dan menimbulkan keadaan yang sangat mencemaskan. TUHAN menghukum semua penduduk dengan bengkak-bengkak pada tubuh mereka, baik orang muda mahupun orang tua.

10 Oleh itu mereka menghantar Tabut Perjanjian ke Ekron, sebuah kota Filistin yang lain lagi. Tetapi apabila Tabut tiba di sana, penduduk kota itu berkata, “Lihatlah, mereka membawa Tabut Perjanjian Allah Israel ke mari untuk membunuh kita semua!”

11 Oleh itu mereka memanggil semua raja Filistin berkumpul, lalu berkata, “Hantarlah Tabut Perjanjian Allah Israel itu ke tempat asalnya, supaya tidak dapat membunuh kami dan keluarga kami.” Segenap penduduk kota itu cemas kerana Allah menghukum mereka dengan sangat berat.

12 Orang yang tidak mati, ditimpa penyakit bengkak-bengkak sehingga penduduk kota itu berteriak minta tolong kepada dewa-dewa mereka.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 31