1 Kemudian Daud pergi ke kawasan En-Gedi dan bersembunyi di situ.
2 Ketika Raja Saul balik dari peperangan melawan orang Filistin, dia mendengar bahawa Daud berada di padang gurun dekat En-Gedi.
3 Raja Saul memilih tiga ribu orang askar yang terbaik daripada seluruh Israel, lalu berangkat mencari Daud dan anak buahnya di sebelah timur Bukit Batu Kambing Hutan.
4 Raja Saul sampai di suatu tempat dekat beberapa buah kandang domba di tepi jalan. Raja Saul masuk ke dalam gua di situ untuk membuang air besar. Kebetulan sekali Daud dan anak buahnya sedang bersembunyi di gua itu juga, lebih ke dalam lagi.
5 Anak buah Daud berkata kepadanya, “Inilah kesempatan tuan. Bukankah TUHAN sudah berfirman kepada tuan demikian, ‘Musuhmu akan Kuserahkan kepadamu, buatlah sesuka hatimu terhadap dia.’ ” Kemudian Daud menyelinap ke tempat Raja Saul dan dengan diam-diam memotong sedikit daripada tepi jubah Raja Saul.
6 Tetapi setelah itu, Daud berasa bersalah kerana dia telah melakukan hal itu.
7 Dia berkata kepada anak buahnya, “Semoga TUHAN mencegah aku daripada berbuat jahat terhadap rajaku yang telah dipilih TUHAN. Aku tidak boleh menyakiti raja sedikit pun kerana raja telah dipilih TUHAN.”
8 Demikianlah Daud menenangkan anak buahnya, dan tidak mengizinkan mereka menyerang Raja Saul.Raja Saul bangkit dan meninggalkan gua itu, lalu meneruskan perjalanan.
9 Tetapi Daud menyusul Raja Saul ke luar gua dan berseru di belakangnya, “Tuanku!” Raja Saul menoleh, dan Daud sujud dengan hormat
10 seraya berkata, “Mengapa tuanku mendengarkan cakap orang yang mengatakan bahawa hamba hendak mencelakakan tuanku?
11 Sekarang tuanku mengalami sendiri bahawa di dalam gua tadi, TUHAN telah menyerahkan tuanku kepada hamba. Hamba telah disuruh oleh beberapa orang anak buah hamba untuk membunuh tuanku, tetapi hamba menolak. Hamba menjawab bahawa hamba tidak mahu menyakiti raja yang dipilih oleh TUHAN.
12 Lihatlah, ayahanda! Lihatlah potongan jubah tuanku yang hamba pegang ini! Sebenarnya hamba dapat membunuh tuanku, tetapi hamba hanya memotong sedikit tepi jubah tuanku. Hal ini membuktikan bahawa hamba tidak bermaksud jahat ataupun derhaka. Tuanku mengejar-ngejar hamba untuk membunuh hamba, meskipun hamba tidak bersalah sedikit pun terhadap tuanku.
13 Semoga TUHAN memutuskan siapa yang bersalah, hamba atau tuanku. Kiranya TUHAN membalas perbuatan tuanku terhadap hamba, namun hamba tidak akan menyakiti tuanku sedikit pun.
14 Tuanku tahu pepatah lama ini, ‘Kejahatan hanya dilakukan oleh orang jahat.’ Oleh sebab itu hamba tidak akan menyakiti tuanku.
15 Perhatikanlah hamba ini yang hendak dibunuh oleh raja Israel! Lihatlah hamba ini yang dikejar-kejar oleh tuanku! Hamba hanya seekor anjing mati, seekor kutu sahaja!
16 TUHAN akan mengadili antara tuanku dan hamba, dan menentukan siapa yang bersalah. Semoga Dia memeriksa perkara ini, dan membela hamba serta menyelamatkan hamba daripada tuanku.”
17 Setelah Daud mengucapkan kata-kata itu, Raja Saul bertitah, “Benarkah kamu ini Daud, anakku?” Lalu Raja Saul menangis.
18 Kemudian Raja Saul bertitah kepada Daud, “Memang kamulah yang benar dan beta bersalah. Kamu telah berlaku begitu baik terhadap beta, walaupun beta telah berlaku jahat terhadapmu.
19 Hari ini kamu telah membuktikan bahawa kamu bermaksud baik terhadap beta. Kamu tidak membunuh beta walaupun TUHAN telah menyerahkan beta kepadamu.
20 Jarang sekali orang melepaskan musuh tanpa menyakitinya setelah ditemuinya musuh itu. TUHAN memberkati kamu kerana perbuatanmu yang baik terhadap beta pada hari ini!
21 Sekarang beta yakin bahawa kamu akan menjadi raja Israel, dan bahawa kerajaan Israel akan makmur di bawah pemerintahanmu.
22 Tetapi berjanjilah demi TUHAN bahawa kamu tidak akan membunuh keturunan beta dan tidak menghapus nama keluarga beta.”
23 Oleh itu Daud bersumpah untuk memenuhi permintaan itu.Kemudian Raja Saul pulang ke rumah, dan Daud serta anak buahnya balik ke tempat persembunyian mereka.