1 Kemudian Daud pergi kepada Imam Ahimelekh di Nob. Dengan gentar Ahimelekh keluar menemui Daud, dan bertanya kepadanya, “Mengapa kamu ke mari seorang diri?”
2 Daud menjawab, “Saya diserahi tugas oleh raja dan dilarang memberitahu sesiapa pun tentang tugas itu. Oleh itu saya menyuruh anak buah saya menunggu di suatu tempat.
3 Saya ingin bertanya, apa makanan yang ada pada tuan sekarang? Tolong beri saya lima ketul roti atau apa saja yang ada.”
4 Imam itu menjawab, “Saya tidak mempunyai roti biasa, hanya roti persembahan yang ada. Kamu boleh mengambilnya, asal saja anak buahmu tidak melakukan persetubuhan baru-baru ini.”
5 “Tentu tidak!” jawab Daud. “Anak buah saya sentiasa tahir, walaupun semasa menjalankan tugas biasa; apalagi kali ini apabila kami menjalankan tugas istimewa!”
6 Kemudian imam itu memberikan roti persembahan kepada Daud, kerana roti yang ada padanya hanya roti persembahan yang sudah dipersembahkan kepada Allah. Roti itu sudah diambil dari tempat persembahan untuk digantikan dengan roti yang baru. (
7 Kebetulan, Doeg orang Edom, ketua gembala ternakan Raja Saul, berada di situ pada hari itu untuk memenuhi kewajipan agama.)
8 Daud bertanya kepada Ahimelekh, “Adakah imam menyimpan tombak atau pedang yang dapat saya guna? Perintah raja sangat mendadak sehingga saya berangkat dengan sangat tergesa-gesa dan tidak sempat lagi mengambil pedang atau senjata yang lain.”
9 Ahimelekh menjawab, “Saya menyimpan pedang Goliat, orang Filistin yang kamu bunuh di Lembah Ela. Pedang itu ada di belakang efod, dibungkus dengan kain. Jika kamu mahu pedang itu, ambillah, kerana hanya itulah senjata yang ada di sini.”Daud berkata, “Pedang itulah yang terbaik di seluruh negeri; berikanlah pedang itu kepada saya!”
10 Pada hari itu juga, Daud melarikan diri daripada Raja Saul, lalu pergi kepada Raja Akhis di kota Gat.
11 Para pegawai Raja Akhis berkata kepada baginda, “Bukankah dia ini Daud, raja di negerinya? Dialah yang dimaksudkan kaum wanita yang pada waktu itu menari-nari sambil bernyanyi begini, ‘Raja Saul membunuh beribu-ribu orang musuh, tetapi Daud membunuh berpuluh-puluh ribu orang musuh.’ ”
12 Kata-kata itu mengganggu fikiran Daud, dan dia menjadi sangat takut kepada Raja Akhis.
13 Oleh itu, di hadapan mereka Daud berpura-pura gila. Apabila mereka mencuba menahannya, dia seolah-olah kurang waras; dia menggores-gores pintu kota dan membiarkan air liurnya meleleh ke janggut.
14 Kemudian Raja Akhis bertitah kepada para pegawainya, “Tidakkah kamu nampak bahawa orang itu gila? Mengapa kamu membawa dia ke mari?
15 Masih kurangkah orang gila di sekeliling beta, sehingga kamu membawa seorang gila lagi ke istana beta?”