1 Samuel 12 BM

Ucapan Perpisahan Samuel

1 Selepas itu Samuel berkata kepada segenap umat Israel, “Aku sudah memenuhi segala permintaan kamu. Aku sudah melantik seorang raja untuk memerintah kamu.

2 Mulai sekarang dialah yang akan memimpin kamu. Lihatlah, aku ini sudah tua dan beruban; anak-anakku ada bersama dengan kamu. Aku memimpin kamu lama sekali - sejak masa mudaku sampai sekarang.

3 Sekarang ini, aku berdiri di hadapan kamu. Jika aku sudah melakukan kesalahan, tuduhlah aku di hadapan TUHAN dan raja yang dipilih-Nya. Pernahkah aku merampas lembu atau keldai orang lain? Pernahkah aku menipu atau menindas orang lain? Pernahkah aku menerima rasuah daripada orang? Katakanlah, supaya apa saja yang sudah aku ambil dapat kukembalikan.”

4 Semua orang itu menjawab, “Tidak, tuan tidak pernah menipu ataupun menindas kami. Tuan tidak pernah mengambil apa-apa pun kepunyaan orang lain.”

5 Oleh itu Samuel berkata, “Biarlah TUHAN dan raja yang dipilih-Nya itu menjadi saksi hari ini bahawa kamu menyatakan aku tidak bersalah sedikit pun.”“Ya, benar,” jawab mereka. “TUHAN menjadi saksi kita.”

6 Samuel meneruskan lagi, “TUHAN telah memilih Musa dan Harun. Dia juga yang sudah membawa nenek moyang kamu keluar dari Mesir.

7 Sekarang, jangan pergi dahulu. Aku akan menuduh kamu di hadapan TUHAN dengan mengingatkan kamu akan segala perbuatan besar yang dilakukan oleh TUHAN untuk menyelamatkan kamu dan nenek moyang kamu.

8 Ketika Yakub dan keluarganya pergi ke Mesir, dan apabila orang Mesir menindas mereka, nenek moyang kamu berseru minta tolong kepada TUHAN. Oleh itu TUHAN mengutus Musa dan Harun untuk memimpin mereka keluar dari Mesir, serta menolong mereka menetap di negeri ini.

9 Tetapi kemudian mereka lupa akan TUHAN, Allah mereka. Oleh sebab itu TUHAN membiarkan orang Filistin, raja negeri Moab, dan Sisera, iaitu panglima tentera kota Hazor, menyerang nenek moyang kamu dan mengalahkan mereka.

10 Kemudian mereka berseru minta tolong kepada TUHAN, dan berkata, ‘Kami sudah berdosa kerana kami membelakangi Engkau, ya TUHAN, dan menyembah patung-patung Dewa Baal dan Asytoret. Sekarang, selamatkanlah kami daripada musuh, maka kami akan mengabdi kepada-Mu!’

11 Selepas itu TUHAN mengutus Gideon, kemudian Barak, lalu Yefta, dan akhir sekali aku. Kami masing-masing sudah membebaskan kamu daripada musuh, sehingga kamu dapat hidup dengan tenteram.

12 Tetapi apabila kamu tahu bahawa Raja Nahas dari Amon itu hendak menyerang kamu, kamu menolak TUHAN sebagai raja kamu. Kamu berkata kepadaku, ‘Kami mahu seorang raja untuk memerintah kami.’

13 Sekarang, kamu mempunyai seorang raja pilihan kamu sendiri. Kamu minta seorang raja, dan TUHAN sudah memberikan raja kepada kamu.

14 Berbahagialah kamu jika kamu menghormati TUHAN, mengabdi kepada-Nya, dan mendengarkan serta mentaati perintah-Nya, dan jika kamu serta raja kamu tetap setia kepada TUHAN Allah kamu.

15 Tetapi jika kamu tidak mendengarkan TUHAN, malahan melawan perintah-Nya, tentu kamu dan raja kamu akan ditentang oleh TUHAN.

16 Sekarang, dengarlah baik-baik! Perhatikanlah keajaiban yang akan dilakukan TUHAN di depan mata kamu.

17 Sekarang musim kemarau, bukan? Tetapi aku akan berdoa, lalu TUHAN akan menurunkan guruh dan hujan sebagai jawapan doaku. Apabila perkara itu berlaku, kamu akan sedar betapa besarnya dosa kamu terhadap TUHAN kerana minta seorang raja.”

18 Kemudian Samuel berdoa, dan pada hari itu juga TUHAN menurunkan guruh serta hujan. Oleh itu, segenap umat itu menjadi takut terhadap TUHAN dan Samuel.

19 Mereka berkata kepada Samuel, “Tolonglah tuan, berdoalah kepada TUHAN Allah tuan untuk kami, supaya kami tidak mati. Sekarang kami sedar bahawa selain dosa kami yang banyak, kami sudah berdosa lagi apabila kami meminta seorang raja.”

20 Samuel menjawab, “Jangan takut! Walaupun kamu sudah melakukan perkara yang jahat, jangan belakangi TUHAN. Tetaplah mengabdi kepada-Nya dengan sepenuh hati kamu.

21 Jangan ikut dewa-dewa yang tidak dapat menolong ataupun menyelamatkan kamu, kerana dewa-dewa itu sebenarnya tidak wujud.

22 TUHAN sudah bersumpah bahawa Dia tidak akan meninggalkan kamu, kerana Dia sudah mengambil keputusan untuk menjadikan kamu umat-Nya sendiri.

23 Bagi diriku, berdosalah aku terhadap TUHAN jika aku tidak lagi berdoa untuk kamu; semoga TUHAN menghindarkan dosa itu daripadaku. Sebaliknya aku akan terus mengajar kamu hal-hal yang baik dan yang benar.

24 Taatilah TUHAN dan abdikan diri kepada-Nya dengan setia dan dengan sepenuh hati. Ingatlah akan perbuatan besar yang sudah dilakukan-Nya untuk kamu.

25 Tetapi jika kamu terus-menerus berdosa, kamu dan raja kamu akan binasa.”

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 31