8 Raja Saul mengumpulkan mereka di Bezek: 300,000 orang dari Israel dan 30,000 orang dari Yehuda.
9 Mereka berkata kepada para utusan dari Yabes itu, “Beritahulah penduduk Yabes bahawa esok, sebelum tengah hari, mereka akan mendapat pertolongan.” Ketika penduduk Yabes mendengar berita itu, mereka sangat bersukacita
10 lalu berkata kepada Raja Nahas, “Esok hamba semua akan menyerah dan tuanku boleh memperlakukan hamba sekalian dengan sesuka hati.”
11 Awal pagi keesokan harinya, Raja Saul membahagikan anak buahnya menjadi tiga pasukan. Kemudian, ketika fajar menyingsing, mereka menyerbu ke tengah-tengah perkhemahan orang Amon dan menyerang mereka. Sebelum tengah hari, tentera Raja Saul telah mengalahkan musuh. Orang Amon yang tidak terbunuh, tercerai-cerai sehingga tidak ada dua orang yang lari bersama-sama.
12 Kemudian umat Israel berkata kepada Samuel, “Di manakah orang yang dahulunya berani berkata bahawa Raja Saul tidak layak menjadi raja kita? Serahkanlah mereka kepada kami. Kami akan membunuh mereka!”
13 Tetapi Raja Saul bertitah, “Tiada seorang pun yang akan dibunuh pada hari ini, kerana pada hari ini TUHAN telah menyelamatkan Israel.”
14 Samuel berkata kepada mereka, “Marilah kita semua pergi ke Gilgal dan sekali lagi menabalkan Raja Saul sebagai raja kita.”