12 Tetapi apabila kamu tahu bahawa Raja Nahas dari Amon itu hendak menyerang kamu, kamu menolak TUHAN sebagai raja kamu. Kamu berkata kepadaku, ‘Kami mahu seorang raja untuk memerintah kami.’
13 Sekarang, kamu mempunyai seorang raja pilihan kamu sendiri. Kamu minta seorang raja, dan TUHAN sudah memberikan raja kepada kamu.
14 Berbahagialah kamu jika kamu menghormati TUHAN, mengabdi kepada-Nya, dan mendengarkan serta mentaati perintah-Nya, dan jika kamu serta raja kamu tetap setia kepada TUHAN Allah kamu.
15 Tetapi jika kamu tidak mendengarkan TUHAN, malahan melawan perintah-Nya, tentu kamu dan raja kamu akan ditentang oleh TUHAN.
16 Sekarang, dengarlah baik-baik! Perhatikanlah keajaiban yang akan dilakukan TUHAN di depan mata kamu.
17 Sekarang musim kemarau, bukan? Tetapi aku akan berdoa, lalu TUHAN akan menurunkan guruh dan hujan sebagai jawapan doaku. Apabila perkara itu berlaku, kamu akan sedar betapa besarnya dosa kamu terhadap TUHAN kerana minta seorang raja.”
18 Kemudian Samuel berdoa, dan pada hari itu juga TUHAN menurunkan guruh serta hujan. Oleh itu, segenap umat itu menjadi takut terhadap TUHAN dan Samuel.