1 Samuel 12:2-8 BM

2 Mulai sekarang dialah yang akan memimpin kamu. Lihatlah, aku ini sudah tua dan beruban; anak-anakku ada bersama dengan kamu. Aku memimpin kamu lama sekali - sejak masa mudaku sampai sekarang.

3 Sekarang ini, aku berdiri di hadapan kamu. Jika aku sudah melakukan kesalahan, tuduhlah aku di hadapan TUHAN dan raja yang dipilih-Nya. Pernahkah aku merampas lembu atau keldai orang lain? Pernahkah aku menipu atau menindas orang lain? Pernahkah aku menerima rasuah daripada orang? Katakanlah, supaya apa saja yang sudah aku ambil dapat kukembalikan.”

4 Semua orang itu menjawab, “Tidak, tuan tidak pernah menipu ataupun menindas kami. Tuan tidak pernah mengambil apa-apa pun kepunyaan orang lain.”

5 Oleh itu Samuel berkata, “Biarlah TUHAN dan raja yang dipilih-Nya itu menjadi saksi hari ini bahawa kamu menyatakan aku tidak bersalah sedikit pun.”“Ya, benar,” jawab mereka. “TUHAN menjadi saksi kita.”

6 Samuel meneruskan lagi, “TUHAN telah memilih Musa dan Harun. Dia juga yang sudah membawa nenek moyang kamu keluar dari Mesir.

7 Sekarang, jangan pergi dahulu. Aku akan menuduh kamu di hadapan TUHAN dengan mengingatkan kamu akan segala perbuatan besar yang dilakukan oleh TUHAN untuk menyelamatkan kamu dan nenek moyang kamu.

8 Ketika Yakub dan keluarganya pergi ke Mesir, dan apabila orang Mesir menindas mereka, nenek moyang kamu berseru minta tolong kepada TUHAN. Oleh itu TUHAN mengutus Musa dan Harun untuk memimpin mereka keluar dari Mesir, serta menolong mereka menetap di negeri ini.