5 Oleh itu Samuel berkata, “Biarlah TUHAN dan raja yang dipilih-Nya itu menjadi saksi hari ini bahawa kamu menyatakan aku tidak bersalah sedikit pun.”“Ya, benar,” jawab mereka. “TUHAN menjadi saksi kita.”
6 Samuel meneruskan lagi, “TUHAN telah memilih Musa dan Harun. Dia juga yang sudah membawa nenek moyang kamu keluar dari Mesir.
7 Sekarang, jangan pergi dahulu. Aku akan menuduh kamu di hadapan TUHAN dengan mengingatkan kamu akan segala perbuatan besar yang dilakukan oleh TUHAN untuk menyelamatkan kamu dan nenek moyang kamu.
8 Ketika Yakub dan keluarganya pergi ke Mesir, dan apabila orang Mesir menindas mereka, nenek moyang kamu berseru minta tolong kepada TUHAN. Oleh itu TUHAN mengutus Musa dan Harun untuk memimpin mereka keluar dari Mesir, serta menolong mereka menetap di negeri ini.
9 Tetapi kemudian mereka lupa akan TUHAN, Allah mereka. Oleh sebab itu TUHAN membiarkan orang Filistin, raja negeri Moab, dan Sisera, iaitu panglima tentera kota Hazor, menyerang nenek moyang kamu dan mengalahkan mereka.
10 Kemudian mereka berseru minta tolong kepada TUHAN, dan berkata, ‘Kami sudah berdosa kerana kami membelakangi Engkau, ya TUHAN, dan menyembah patung-patung Dewa Baal dan Asytoret. Sekarang, selamatkanlah kami daripada musuh, maka kami akan mengabdi kepada-Mu!’
11 Selepas itu TUHAN mengutus Gideon, kemudian Barak, lalu Yefta, dan akhir sekali aku. Kami masing-masing sudah membebaskan kamu daripada musuh, sehingga kamu dapat hidup dengan tenteram.