5 Sementara itu orang Filistin juga berkumpul untuk menyerang orang Israel. Orang Filistin mempunyai tiga puluh ribu buah kereta kuda, enam ribu orang berkuda dan askar sebanyak pasir di pantai. Mereka berkhemah di Mikhmas di sebelah timur Bet-Awen.
6 Kemudian mereka melancarkan serangan sengit terhadap orang Israel, sehingga orang Israel berada dalam keadaan genting. Beberapa orang Israel bersembunyi di dalam gua dan lubang gunung, atau di dalam celah-celah batu besar, atau di dalam perigi dan lubang di tanah.
7 Ada juga beberapa orang yang menyeberangi Sungai Yordan, lalu pergi ke wilayah Gad dan Gilead.Raja Saul masih berada di Gilgal, dan orang yang mengikuti baginda gementar ketakutan.
8 Raja Saul menunggu Samuel selama tujuh hari, sebagaimana pesan Samuel kepada baginda, tetapi Samuel belum juga tiba di Gilgal. Kemudian orang Israel mula meninggalkan Raja Saul.
9 Oleh itu Raja Saul bertitah kepada mereka, “Bawalah ke mari korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN.” Kemudian Raja Saul sendiri mempersembahkan korban itu,
10 tetapi sebaik sahaja Raja Saul selesai mempersembahkannya, Samuel tiba. Raja Saul menemui Samuel untuk menyambutnya,
11 tetapi Samuel bertanya, “Apakah yang sudah tuanku lakukan?”Raja Saul menjawab, “Beta melihat bahawa rakyat sudah mula meninggalkan beta, sedangkan tuan tidak datang pada waktu yang tuan tetapkan. Lagipun, orang Filistin sudah berkumpul di Mikhmas.