1 Samuel 13:9-15 BM

9 Oleh itu Raja Saul bertitah kepada mereka, “Bawalah ke mari korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN.” Kemudian Raja Saul sendiri mempersembahkan korban itu,

10 tetapi sebaik sahaja Raja Saul selesai mempersembahkannya, Samuel tiba. Raja Saul menemui Samuel untuk menyambutnya,

11 tetapi Samuel bertanya, “Apakah yang sudah tuanku lakukan?”Raja Saul menjawab, “Beta melihat bahawa rakyat sudah mula meninggalkan beta, sedangkan tuan tidak datang pada waktu yang tuan tetapkan. Lagipun, orang Filistin sudah berkumpul di Mikhmas.

12 Oleh itu beta berfikir, ‘Jangan-jangan tentera Filistin akan segera menyerang beta di sini, di Gilgal, padahal beta belum mohon belas kasihan TUHAN.’ Itulah sebabnya beta mengambil keputusan untuk mempersembahkan korban.”

13 Samuel menjawab, “Perbuatan tuanku itu tindakan yang bodoh. Tuanku tidak mentaati perintah TUHAN, Allah tuanku, kepada tuanku. Jika tuanku taat, TUHAN pasti membenarkan tuanku dan keturunan tuanku memerintah Israel sampai selama-lamanya.

14 Tetapi sekarang kerajaan tuanku tidak akan tahan lama. Oleh sebab tuanku tidak taat kepada-Nya, TUHAN akan mencari orang lain yang dikehendaki-Nya untuk dilantik menjadi raja umat-Nya.”

15 Kemudian Samuel meninggalkan Gilgal dan meneruskan perjalanannya. Orang yang lain mengikut Raja Saul untuk bergabung dengan tentera baginda. Kemudian dari Gilgal mereka pergi ke Gibea di wilayah Benyamin. Raja Saul memeriksa pasukan baginda dan mendapati jumlahnya kira-kira enam ratus orang.