10 Tetapi jika mereka menyuruh kita pergi kepada mereka, kita akan ke sana, kerana itulah tandanya mereka diserahkan oleh TUHAN kepada kita.”
11 Oleh itu mereka membiarkan orang Filistin melihat mereka. Kemudian orang Filistin berkata, “Lihatlah! Ada orang Ibrani keluar dari lubang tempat mereka bersembunyi!”
12 Kemudian mereka berseru kepada Yonatan dan hambanya, “Marilah ke sini! Ada yang hendak kami tunjukkan kepada kamu!”Yonatan berkata kepada pemuda itu, “Ikutlah aku. TUHAN sudah menyerahkan mereka kepada Israel.”
13 Dengan diikuti pemuda itu Yonatan merangkak ke atas genting itu sehingga melaluinya. Yonatan menyerang orang Filistin lalu mereka berjatuhan kerana dipukulnya, dan pemuda itu membunuh mereka.
14 Dalam pertempuran yang pertama itu, Yonatan dan pemuda itu membunuh kira-kira dua puluh orang di kawasan seluas satu perempat hektar.
15 Kejadian itu menggemparkan semua orang Filistin di kawasan luar bandar; pasukan perompak dan askar Filistin di perkhemahan gementar ketakutan; bahkan bumi pun bergegar, dan terjadilah keadaan kacau-bilau.
16 Sementara itu tentera Raja Saul yang berkawal di Gibea, di wilayah Benyamin nampak orang Filistin berlari dengan kebingungan.