22 Orang Israel yang bersembunyi di perbukitan Efraim juga mendengar bahawa orang Filistin sudah lari, lalu mereka ikut bergabung dengan Raja Saul dan menyerang orang Filistin.
23 Orang Israel bertempur sepanjang jalan sampai melintasi Bet-Awen. TUHAN menyelamatkan Israel pada hari itu.
24 Pada hari itu orang Israel lemah kelaparan kerana Raja Saul sudah bersumpah demikian, “Terkutuklah orang yang makan apa pun pada hari ini, sebelum beta membalas dendam terhadap musuh.” Oleh itu tiada sesiapa pun yang makan sepanjang hari itu.
25 Kemudian mereka semua sampai di suatu hutan dan menjumpai banyak sekali madu,
26 tetapi tiada sesiapa pun yang makan madu itu. Mereka takut kena kutuk yang diucapkan oleh Raja Saul.
27 Tetapi Yonatan tidak tahu bahawa ayahandanya sudah mengancam rakyat dengan kutuk itu; maka dia menghulurkan tongkat yang dibawanya, dan mencucukkannya ke dalam sarang madu, serta mengambil madu itu lalu memakannya. Segera dia berasa segar dan bertambah kuat.
28 Kemudian seorang daripada askar itu berkata kepadanya, “Kami semua sudah tidak berdaya kerana lapar. Tetapi ayahanda tuan mengancam kami dan berkata, ‘Terkutuklah orang yang makan apa pun pada hari ini.’ ”