27 Tetapi Yonatan tidak tahu bahawa ayahandanya sudah mengancam rakyat dengan kutuk itu; maka dia menghulurkan tongkat yang dibawanya, dan mencucukkannya ke dalam sarang madu, serta mengambil madu itu lalu memakannya. Segera dia berasa segar dan bertambah kuat.
28 Kemudian seorang daripada askar itu berkata kepadanya, “Kami semua sudah tidak berdaya kerana lapar. Tetapi ayahanda tuan mengancam kami dan berkata, ‘Terkutuklah orang yang makan apa pun pada hari ini.’ ”
29 Yonatan menjawab, “Alangkah dahsyatnya tindakan ayahandaku terhadap bangsa kita! Lihatlah, keadaanku sekarang jauh lebih baik setelah aku makan sedikit madu.
30 Seandainya rakyat dibenarkan makan makanan yang telah dirampas ketika mengalahkan musuh pada hari ini, tentu lebih banyak orang Filistin yang dapat dibunuh mereka.”
31 Pada hari itu orang Israel mengalahkan orang Filistin setelah bertempur sepanjang jalan dari Mikhmas sampai ke Ayalon. Pada masa itu mereka sangat lemah kerana kelaparan,
32 sehingga mereka berebut-rebut mengambil barang jarahan yang baru dirampas daripada musuh; mereka mengambil domba dan lembu, serta menyembelih semuanya di tempat itu juga, lalu langsung makan daging yang masih berdarah.
33 Kemudian Raja Saul diberitahu tentang perkara itu, “Tuanku, rakyat berdosa terhadap TUHAN kerana makan daging yang masih berdarah.”“Kamu pengkhianat!” teriak Raja Saul. “Gulingkanlah sebuah batu besar ke mari!”