1 Samuel 14:30-36 BM

30 Seandainya rakyat dibenarkan makan makanan yang telah dirampas ketika mengalahkan musuh pada hari ini, tentu lebih banyak orang Filistin yang dapat dibunuh mereka.”

31 Pada hari itu orang Israel mengalahkan orang Filistin setelah bertempur sepanjang jalan dari Mikhmas sampai ke Ayalon. Pada masa itu mereka sangat lemah kerana kelaparan,

32 sehingga mereka berebut-rebut mengambil barang jarahan yang baru dirampas daripada musuh; mereka mengambil domba dan lembu, serta menyembelih semuanya di tempat itu juga, lalu langsung makan daging yang masih berdarah.

33 Kemudian Raja Saul diberitahu tentang perkara itu, “Tuanku, rakyat berdosa terhadap TUHAN kerana makan daging yang masih berdarah.”“Kamu pengkhianat!” teriak Raja Saul. “Gulingkanlah sebuah batu besar ke mari!”

34 Kemudian Raja Saul memberikan satu perintah lagi, “Pergilah kepada rakyat dan suruhlah mereka semua membawa lembu dan domba ke sini. Mereka mesti menyembelih binatang di atas batu ini dan memakannya di sini. Mereka tidak patut berdosa terhadap TUHAN dengan makan daging yang masih berdarah.” Pada malam itu juga mereka membawa semua binatang rampasan dan menyembelih semuanya di situ.

35 Selepas itu Raja Saul membina sebuah mazbah untuk TUHAN. Itulah mazbah pertama yang dibina oleh Raja Saul.

36 Kemudian Raja Saul bertitah kepada anak buahnya, “Mari kita pergi menyerang orang Filistin pada malam ini, dan merompak mereka sehingga fajar, serta membunuh mereka semua.”Mereka menjawab, “Buatlah apa saja yang terbaik menurut pendapat tuanku.”Tetapi imam berkata, “Baiklah kita lebih dahulu memohon petunjuk daripada Allah.”