1 Samuel 14:39-45 BM

39 Beta berjanji demi TUHAN yang hidup, yang memberikan kemenangan kepada Israel, bahawa orang yang bersalah itu akan dihukum mati, sekalipun dia Yonatan putera beta sendiri.” Tetapi tiada seorang pun yang menjawab.

40 Kemudian Raja Saul bertitah kepada mereka semua, “Kamu semua berdiri di sebelah sana; Yonatan dan beta akan berdiri di sebelah sini.”Mereka menjawab, “Buatlah apa saja yang terbaik menurut pendapat tuanku.”

41 Raja Saul berkata kepada TUHAN, Allah Israel, “Ya TUHAN, Allah Israel, mengapakah Engkau tidak menjawab aku hari ini? Ya TUHAN, jawablah aku melalui batu-batu yang suci ini. Jika Yonatan atau aku yang bersalah, jawablah dengan batu Urim; tetapi jika umat Israel yang bersalah, jawablah dengan batu Tumim.” Jawapan TUHAN menunjuk kepada Yonatan dan Raja Saul; dengan demikian rakyat dinyatakan tidak bersalah.

42 Kemudian Raja Saul berkata, “Sekarang tunjukkanlah, sama ada Yonatan atau aku yang bersalah.” Yonatan dinyatakan bersalah.

43 Raja Saul bertanya kepada Yonatan, “Apakah yang sudah engkau lakukan?”Yonatan menjawab, “Saya telah makan sedikit madu yang saya ambil dengan hujung tongkat saya. Saya bersedia untuk mati.”

44 Raja Saul bertitah kepadanya, “Biarlah beta dihukum Allah jika engkau tidak dihukum mati, Yonatan!”

45 Tetapi rakyat berkata kepada Raja Saul, “Haruskah Yonatan dihukum mati? Bukankah dia yang sudah mendapat kemenangan yang besar ini? Kami berjanji demi TUHAN yang hidup, bahawa seutas rambut Yonatan pun tidak akan diusik! Dengan pertolongan TUHAN, dia telah mendapat kemenangan pada hari ini.” Demikianlah rakyat menyelamatkan Yonatan daripada hukuman mati.