1 Pada suatu hari Samuel berkata kepada Raja Saul, “TUHAN telah menyuruh hamba untuk melantik tuanku menjadi raja umat-Nya Israel. Sekarang dengarlah firman TUHAN Yang Maha Kuasa.
2 Dia akan menghukum orang Amalek kerana nenek moyang mereka menentang umat Israel ketika umat Israel datang dari Mesir.
3 Pergilah serang orang Amalek, binasakanlah mereka dan hancurkanlah segala yang ada pada mereka. Jangan tinggalkan sesuatu apa pun. Bunuhlah semua lelaki, perempuan, kanak-kanak, bayi, lembu, domba, unta, dan keldai.”
4 Kemudian Raja Saul mengumpulkan tenteranya dan menghitung mereka di Telaim; ada dua ratus ribu orang askar dari Israel dan sepuluh ribu orang askar dari Yehuda.
5 Selepas itu Raja Saul membawa tentera itu ke kota orang Amalek, dan mengadang musuh di dasar sungai yang kering.
6 Raja Saul mengirim amaran kepada orang Keni, “Berangkatlah dan tinggalkanlah orang Amalek, supaya kamu tidak terbunuh bersama-sama mereka. Dahulu nenek moyang kamu berlaku baik terhadap umat Israel, ketika umat Israel datang dari Mesir.” Maka orang Keni meninggalkan tempat itu.