22 Samuel berkata, “Manakah yang lebih disukai TUHAN, ketaatan atau persembahan dan korban? Lebih baik taat kepada TUHAN daripada mempersembahkan domba yang paling gemuk kepada-Nya.
23 Memberontak terhadap TUHAN sama jahatnya dengan melakukan sihir, dan hati yang sombong sama jahatnya dengan penyembahan berhala. Oleh sebab tuanku menolak perintah TUHAN, TUHAN pun menolak tuanku sebagai raja.”
24 Mendengar kata-kata itu Raja Saul bertitah kepada Samuel, “Memang beta sudah berdosa. Beta sudah melanggar perintah TUHAN dan mengabaikan nasihat tuan. Beta takut kepada anak buah beta, lalu beta mengabulkan permintaan mereka.
25 Tetapi sekarang beta mohon supaya dosa beta diampunkan, dan kembalilah bersama-sama beta ke Gilgal, supaya beta dapat beribadat kepada TUHAN.”
26 Tetapi Samuel menjawab, “Hamba tidak mahu kembali bersama-sama tuanku. Tuanku sudah menolak perintah TUHAN, dan sekarang Dia menolak tuanku sebagai raja Israel.”
27 Selepas itu Samuel berpaling hendak pergi, tetapi Raja Saul menahan dia dengan memegang jubahnya, sehingga jubah itu koyak.
28 Oleh itu Samuel berkata kepada Raja Saul, “Pada hari ini juga TUHAN sudah mengoyakkan kerajaan Israel daripada tuanku dan memberikannya kepada orang lain yang lebih baik daripada tuanku.