24 Mendengar kata-kata itu Raja Saul bertitah kepada Samuel, “Memang beta sudah berdosa. Beta sudah melanggar perintah TUHAN dan mengabaikan nasihat tuan. Beta takut kepada anak buah beta, lalu beta mengabulkan permintaan mereka.
25 Tetapi sekarang beta mohon supaya dosa beta diampunkan, dan kembalilah bersama-sama beta ke Gilgal, supaya beta dapat beribadat kepada TUHAN.”
26 Tetapi Samuel menjawab, “Hamba tidak mahu kembali bersama-sama tuanku. Tuanku sudah menolak perintah TUHAN, dan sekarang Dia menolak tuanku sebagai raja Israel.”
27 Selepas itu Samuel berpaling hendak pergi, tetapi Raja Saul menahan dia dengan memegang jubahnya, sehingga jubah itu koyak.
28 Oleh itu Samuel berkata kepada Raja Saul, “Pada hari ini juga TUHAN sudah mengoyakkan kerajaan Israel daripada tuanku dan memberikannya kepada orang lain yang lebih baik daripada tuanku.
29 Allah yang mulia, Allah Israel itu tidak berdusta dan tidak pula mengubah pendirian-Nya, kerana Dia bukan manusia.”
30 Raja Saul menjawab, “Beta sudah berdosa. Tetapi tolonglah, kembalilah bersama-sama beta supaya beta dapat beribadat kepada TUHAN, Allah tuan. Dengan demikian tuan menghormati beta di depan para pemimpin rakyat dan semua orang Israel.”