6 Raja Saul mengirim amaran kepada orang Keni, “Berangkatlah dan tinggalkanlah orang Amalek, supaya kamu tidak terbunuh bersama-sama mereka. Dahulu nenek moyang kamu berlaku baik terhadap umat Israel, ketika umat Israel datang dari Mesir.” Maka orang Keni meninggalkan tempat itu.
7 Kemudian Raja Saul bertempur dengan orang Amalek dan mengalahkan mereka. Baginda bertempur di sepanjang jalan, dari Hawila sampai ke Syur di sebelah timur Mesir.
8 Raja Saul menangkap Raja Agag, raja orang Amalek, dan membunuh semua orang Amalek,
9 tetapi Raja Saul dan anak buahnya tidak membunuh Raja Agag. Mereka juga tidak membunuh domba dan lembu yang paling gemuk, anak lembu dan anak domba yang paling gemuk, dan segala sesuatu yang berharga; mereka hanya membinasakan apa yang tidak berguna dan tidak berharga.
10 TUHAN berfirman kepada Samuel,
11 “Aku menyesal telah melantik Saul sebagai raja. Dia sudah membelakangi Aku dan tidak lagi taat kepada perintah-Ku.” Samuel marah, dan sepanjang malam dia merayu kepada TUHAN.
12 Keesokan harinya, pagi-pagi lagi, Samuel pergi mencari Raja Saul. Samuel mendengar bahawa Raja Saul sudah pergi ke kota Karmel untuk mendirikan tugu peringatan bagi dirinya di sana. Kemudian Raja Saul terus pergi ke Gilgal.