9 tetapi Raja Saul dan anak buahnya tidak membunuh Raja Agag. Mereka juga tidak membunuh domba dan lembu yang paling gemuk, anak lembu dan anak domba yang paling gemuk, dan segala sesuatu yang berharga; mereka hanya membinasakan apa yang tidak berguna dan tidak berharga.
10 TUHAN berfirman kepada Samuel,
11 “Aku menyesal telah melantik Saul sebagai raja. Dia sudah membelakangi Aku dan tidak lagi taat kepada perintah-Ku.” Samuel marah, dan sepanjang malam dia merayu kepada TUHAN.
12 Keesokan harinya, pagi-pagi lagi, Samuel pergi mencari Raja Saul. Samuel mendengar bahawa Raja Saul sudah pergi ke kota Karmel untuk mendirikan tugu peringatan bagi dirinya di sana. Kemudian Raja Saul terus pergi ke Gilgal.
13 Apabila Samuel menemui Raja Saul, Raja Saul bertitah kepadanya, “Semoga TUHAN memberkati Samuel. Beta sudah melaksanakan perintah TUHAN.”
14 Samuel bertanya kepadanya, “Jika demikian, mengapa hamba mendengar lembu melenguh dan domba mengembik?”
15 Raja Saul menjawab, “Anak buah beta merampas ternakan itu daripada orang Amalek. Domba dan lembu yang paling gemuk sudah diambil oleh anak buah beta untuk dipersembahkan sebagai korban kepada TUHAN, Allah tuan. Tetapi binatang selebihnya sudah kami binasakan sama sekali.”