1 Samuel 16:1-7 BM

1 Kemudian TUHAN berfirman kepada Samuel, “Berapa lama lagi engkau bersedih hati kerana Saul? Aku sudah menolak dia sebagai raja Israel. Sekarang, bawalah minyak zaitun dan pergilah ke Betlehem, kepada seorang yang bernama Isai, kerana Aku sudah memilih seorang daripada anaknya untuk menjadi raja.”

2 Samuel bertanya, “Bagaimana mungkin aku berbuat demikian? Jika Raja Saul mendengar hal ini, tentu baginda akan membunuh aku!”TUHAN menjawab, “Bawalah seekor anak lembu dan katakanlah bahawa engkau ke sana untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN.

3 Jemputlah Isai ke upacara mempersembahkan korban itu. Aku akan memberitahu engkau apa yang harus engkau lakukan. Orang yang Aku tunjukkan kepadamu harus engkau lantik menjadi raja.”

4 Samuel melakukan apa yang difirmankan TUHAN kepadanya. Dia pergi ke Betlehem dan para pemimpin kota itu datang menyambutnya dengan gementar ketakutan. Mereka bertanya, “Adakah lawatan tuan membawa kesejahteraan?”

5 “Ya,” jawab Samuel. “Saya datang untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN. Sucikanlah diri kamu dan ikutlah saya.” Dia juga menyuruh Isai dan anak-anaknya menyucikan diri, dan menjemput mereka ke upacara mempersembahkan korban itu.

6 Apabila mereka sudah berkumpul, Samuel nampak Eliab, anak Isai. Dia berfikir, “Orang yang berdiri di hadapan TUHAN ini tentulah orang yang dipilih-Nya.”

7 Tetapi TUHAN berfirman kepada Samuel, “Jangan perhatikan tinggi badannya atau kacak rupanya; bukan dia yang Aku kehendaki. Aku tidak menilai orang seperti cara manusia menilai orang. Manusia melihat rupa tetapi Aku melihat hati.”