4 Samuel melakukan apa yang difirmankan TUHAN kepadanya. Dia pergi ke Betlehem dan para pemimpin kota itu datang menyambutnya dengan gementar ketakutan. Mereka bertanya, “Adakah lawatan tuan membawa kesejahteraan?”
5 “Ya,” jawab Samuel. “Saya datang untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN. Sucikanlah diri kamu dan ikutlah saya.” Dia juga menyuruh Isai dan anak-anaknya menyucikan diri, dan menjemput mereka ke upacara mempersembahkan korban itu.
6 Apabila mereka sudah berkumpul, Samuel nampak Eliab, anak Isai. Dia berfikir, “Orang yang berdiri di hadapan TUHAN ini tentulah orang yang dipilih-Nya.”
7 Tetapi TUHAN berfirman kepada Samuel, “Jangan perhatikan tinggi badannya atau kacak rupanya; bukan dia yang Aku kehendaki. Aku tidak menilai orang seperti cara manusia menilai orang. Manusia melihat rupa tetapi Aku melihat hati.”
8 Selepas itu Isai memanggil anaknya Abinadab, lalu menyuruh dia menghadap Samuel. Tetapi Samuel berkata, “Dia juga tidak dipilih oleh TUHAN.”
9 Kemudian Isai menyuruh Syama menghadap. Samuel berkata, “Dia juga tidak dipilih oleh TUHAN.”
10 Demikianlah Isai menyuruh tujuh orang anaknya menghadap Samuel. Tetapi Samuel berkata, “Tidak seorang pun antara mereka yang dipilih oleh TUHAN.”