17 Pada suatu hari Isai berkata kepada Daud, “Bawalah sepuluh kilogram biji-bijian yang dipanggang dan sepuluh buku roti, lalu hantarlah semuanya kepada abang-abangmu di perkhemahan tentera.
18 Bawalah juga sepuluh buah keju bagi komandan pasukan. Tanyakanlah bagaimana keadaan abang-abangmu. Bawalah sesuatu untuk membuktikan bahawa engkau sudah berjumpa dengan mereka, dan mereka dalam keadaan selamat.
19 Mereka berada di Lembah Ela bersama dengan Raja Saul dan semua orang Israel lain, yang sedang bertempur dengan orang Filistin.”
20 Keesokan harinya, awal pagi, Daud bangun dan berkemas. Dia menyuruh orang lain menjaga domba. Kemudian dia membawa makanan itu lalu berangkat sebagaimana yang disuruh oleh Isai. Dia tiba di perkhemahan tepat ketika orang Israel sedang mengatur barisan sambil meneriakkan isyarat perang.
21 Tentera Filistin dan tentera Israel saling berhadapan dan bersiap-siap untuk bertempur.
22 Daud menitipkan makanan itu kepada penjaga perlengkapan tentera, lalu lari ke medan perang untuk berjumpa dengan abang-abangnya, dan menanyakan khabar mereka.
23 Tetapi ketika dia sedang bercakap dengan mereka, Goliat tampil lalu mencabar tentera Israel seperti yang biasa dilakukannya; Daud mendengar kata-kata cabarannya itu.