25 “Lihatlah dia!” kata mereka sesama sendiri. “Dengarlah cabarannya! Raja Saul sudah berjanji bahawa orang yang berjaya membunuh Goliat akan diberikan hadiah yang besar. Raja juga akan mengahwinkan puterinya kepada orang itu, dan keluarga orang itu tidak perlu membayar cukai lagi.”
26 Daud bertanya kepada askar yang berada dekatnya, “Apakah yang akan diberikan kepada orang yang dapat membunuh orang Filistin itu dan membebaskan Israel daripada penghinaan? Berani betul orang Filistin itu, orang yang tidak mengenal Allah, mencabar tentera Allah yang hidup!”
27 Mereka memberitahu Daud akan hadiah yang diberikan kepada orang yang dapat membunuh Goliat.
28 Eliab, abang sulung Daud, mendengar percakapan Daud dengan askar-askar itu. Dia memarahi Daud, dan berkata, “Mengapa engkau datang ke mari? Siapa yang kausuruh menjaga domba-dombamu di padang gurun itu? Aku tahu, engkau budak jahat, dan berlagak berani; kaudatang ke mari hanya untuk melihat pertempuran, bukan?”
29 “Apakah salahku? Aku hanya bertanya,” jawab Daud.
30 Kemudian dia pergi dan menanyakan hal yang sama kepada askar-askar lain, dan dia mendapat jawapan yang sama.
31 Tetapi beberapa orang yang mendengar kata-kata Daud, menyampaikannya kepada Raja Saul, lalu Raja Saul memanggil Daud menghadap.