38 Raja Saul memberikan pakaian perangnya kepada Daud untuk dipakainya: sebuah topi gangsa yang dikenakannya pada kepala Daud, dan sepasang baju besi.
39 Kemudian Daud mengikatkan pedang Raja Saul pada baju besi itu lalu cuba berjalan. Tetapi Daud tidak dapat berjalan, kerana dia tidak biasa memakai pakaian perang. “Hamba tidak dapat berjalan dengan pakaian ini,” katanya kepada Raja Saul. “Hamba tidak biasa memakainya.” Lalu Daud menanggalkan seluruh pakaian perang itu.
40 Kemudian dia membawa tongkat gembalanya, dan mengambil lima biji batu yang bulat dari sungai, lalu menyimpan batu itu di dalam kantongnya. Dengan ali-ali siap di tangannya dia pergi menghadapi Goliat.
41 Kemudian Goliat mula berjalan ke arah Daud, didahului oleh pembawa perisainya. Dia terus mendekati Daud,
42 tetapi ketika dia nampak Daud dan memperhatikannya, Goliat tertawa mengejek kerana Daud masih sangat muda dan kacak.
43 Goliat berkata kepada Daud, “Untuk apakah tongkat itu? Adakah engkau fikir aku ini anjing?” Goliat mengutuk Daud demi dewanya.
44 “Mari,” katanya lagi untuk mencabar Daud, “Aku akan memberikan tubuhmu kepada burung dan binatang supaya dimakan!”