12 Raja Saul takut akan Daud kerana TUHAN menyertai Daud, tetapi TUHAN sudah meninggalkan Raja Saul.
13 Maka Raja Saul memindahkan Daud dari lingkungan istana dengan melantiknya menjadi ketua pasukan seribu orang askar. Daud memimpin pasukannya dalam pertempuran,
14 dan dia berjaya melaksanakan segala tugasnya kerana TUHAN menyertai dia.
15 Raja Saul memperhatikan kejayaan Daud, dan hal itu menjadikannya bertambah takut akan Daud.
16 Tetapi semua penduduk Israel dan Yehuda mengasihi Daud, kerana dia seorang pemimpin yang banyak jasa.
17 Raja Saul merancangkan supaya Daud dibunuh oleh orang Filistin dalam pertempuran supaya bukan Raja Saul sendiri yang membunuh dia. Oleh itu, pada suatu hari Raja Saul bertitah kepada Daud, “Merab, puteri sulung beta, akan beta jodohkan dengan kamu, asal saja kamu berkhidmat kepada beta sebagai askar yang berani dan taat, serta berperang untuk TUHAN.”
18 Daud menjawab, “Siapakah hamba ini, dan siapakah keluarga bapa hamba di Israel sehingga hamba menjadi menantu raja?”