1 Samuel 2:10-16 BM

10 Musuh-musuh TUHAN akan binasa;Dia akan mengguntur dari langit untuk menentang mereka.TUHAN akan menghakimi seluruh dunia;Dia akan memberikan kuasa kepada raja,Dia juga akan memberikan kemenangan kepada raja pilihan-Nya.”

11 Selepas itu Elkana pulang ke rumahnya di Rama, tetapi Samuel, anak itu tinggal di Silo dan mengabdi kepada TUHAN di bawah pengawasan Imam Eli.

12 Anak-anak Eli sangat jahat. Mereka tidak mengendahkan TUHAN.

13 Mereka juga tidak mengendahkan peraturan tentang apa yang boleh diminta oleh imam daripada umat Israel. Sebaliknya, jika ada orang yang mempersembahkan korban, hamba imam akan datang sambil membawa garpu bergigi tiga. Sementara daging itu direbus,

14 hamba itu akan menusukkan garpu ke dalam periuk, tempat daging itu dimasak. Apa sahaja yang ditariknya keluar dengan garpu itu menjadi milik imam. Semua orang Israel yang datang ke Silo untuk mempersembahkan korban diperlakukan seperti itu.

15 Tambahan pula, hamba itu akan datang sebelum lemak binatang itu dipisahkan untuk dibakar, lalu dia berkata kepada orang yang mempersembahkan korban itu, “Berikanlah daging yang masih mentah itu kepada imam supaya dipanggangnya; dia tidak mahu menerima daging yang sudah direbus.”

16 Jika orang itu menjawab, “Sebaiknya kita mentaati peraturan dan membakar lemak itu dahulu; selepas itu bolehlah kamu mengambil apa yang kamu suka,” maka hamba itu akan berkata, “Tidak! Serahkan daging itu kepadaku sekarang juga! Jika tidak, aku akan mengambilnya dengan paksa.”