20 Kemudian Eli memberkati Elkana dan isterinya, serta berkata kepada Elkana, “Semoga TUHAN mengurniai kamu anak-anak lain daripada isterimu ini, untuk menggantikan anak yang sudah kamu serahkan kepada TUHAN.”Selepas itu mereka pulang ke Rama.
21 Hana diberkati oleh TUHAN, lalu Hana melahirkan tiga orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Samuel pun bertambah besar sementara dia mengabdi kepada TUHAN.
22 Eli sudah sangat tua. Dia selalu mendengar aduan tentang perbuatan anak-anaknya terhadap umat Israel. Eli tahu juga bahawa anak-anaknya itu meniduri perempuan-perempuan yang bertugas di pintu Khemah TUHAN.
23 Oleh itu Eli berkata kepada anak-anaknya, “Aku sudah diberitahu oleh setiap orang tentang kejahatan yang kamu lakukan. Mengapa kamu melakukan hal itu?
24 Jangan berbuat begitu lagi, hai anak-anakku. Sangat buruk perkara yang dikatakan oleh umat TUHAN tentang kamu.
25 Jika seseorang berdosa terhadap manusia, Allah dapat membelanya; tetapi jika seseorang berdosa terhadap TUHAN, siapakah yang dapat membelanya?”Tetapi anak-anak Eli itu tidak mempedulikan nasihat bapa mereka, kerana TUHAN sudah mengambil keputusan untuk membinasakan mereka.
26 Sebaliknya Samuel, anak itu, semakin besar dan semakin disukai oleh TUHAN mahupun oleh semua orang.