22 Eli sudah sangat tua. Dia selalu mendengar aduan tentang perbuatan anak-anaknya terhadap umat Israel. Eli tahu juga bahawa anak-anaknya itu meniduri perempuan-perempuan yang bertugas di pintu Khemah TUHAN.
23 Oleh itu Eli berkata kepada anak-anaknya, “Aku sudah diberitahu oleh setiap orang tentang kejahatan yang kamu lakukan. Mengapa kamu melakukan hal itu?
24 Jangan berbuat begitu lagi, hai anak-anakku. Sangat buruk perkara yang dikatakan oleh umat TUHAN tentang kamu.
25 Jika seseorang berdosa terhadap manusia, Allah dapat membelanya; tetapi jika seseorang berdosa terhadap TUHAN, siapakah yang dapat membelanya?”Tetapi anak-anak Eli itu tidak mempedulikan nasihat bapa mereka, kerana TUHAN sudah mengambil keputusan untuk membinasakan mereka.
26 Sebaliknya Samuel, anak itu, semakin besar dan semakin disukai oleh TUHAN mahupun oleh semua orang.
27 Pada suatu hari seorang nabi datang kepada Eli dan menyampaikan perkhabaran daripada TUHAN. Nabi itu berkata, “TUHAN berfirman, ‘Ketika nenek moyangmu Harun dan keluarganya menjadi hamba raja Mesir, Aku menampakkan diri kepada Harun.
28 Daripada semua suku Israel, Aku memilih keluarganya menjadi imam-Ku untuk bertugas di mazbah, membakar kemenyan, dan memakai baju efod ketika meminta petunjuk daripada-Ku. Aku memberi mereka hak untuk mengambil sebahagian daripada korban yang dibakar di atas mazbah.