1 Samuel 2:28-34 BM

28 Daripada semua suku Israel, Aku memilih keluarganya menjadi imam-Ku untuk bertugas di mazbah, membakar kemenyan, dan memakai baju efod ketika meminta petunjuk daripada-Ku. Aku memberi mereka hak untuk mengambil sebahagian daripada korban yang dibakar di atas mazbah.

29 Tetapi mengapakah engkau masih tamak melihat persembahan dan korban yang dipersembahkan oleh umat-Ku kepada-Ku? Mereka mempersembahkan semuanya kepada-Ku menurut perintah-Ku kepada mereka. Hai Eli, mengapa engkau lebih menghormati anak-anakmu daripada menghormati Aku, dan membiarkan mereka menggemukkan diri dengan bahagian terbaik daripada setiap korban yang dipersembahkan oleh umat-Ku kepada-Ku?

30 Aku TUHAN, Allah Israel, dahulu telah berjanji bahawa keluarga dan puakmu akan mengabdi kepada-Ku sebagai imam untuk sepanjang masa. Tetapi sekarang Aku tidak menghendaki hal itu lagi! Sebaliknya, mereka yang menghormati Aku akan Kuhormati, dan mereka yang menghina Aku akan dihina.

31 Dengarlah, akan tiba masanya Aku membunuh semua orang lelaki daripada keluarga dan puakmu, sehingga tiada seorang lelaki pun daripada keluargamu yang akan hidup sampai usia lanjut.

32 Engkau akan sedih dan iri hati melihat segala berkat yang akan Kuberikan kepada orang lain di Israel, sedangkan dalam keluargamu sendiri semua orang akan mati muda.

33 Namun, seorang daripada keturunanmu akan Kubiarkan hidup, dan dia akan mengabdi kepada-Ku sebagai imam. Tetapi dia akan menjadi buta dan hidup dengan putus asa. Semua keturunanmu yang lain akan dibunuh dengan kejam.

34 Apabila kedua-dua orang anakmu, Hofni dan Pinehas, meninggal pada hari yang sama, barulah engkau sedar bahawa semua yang Aku firmankan ini akan benar-benar berlaku.