15 tunjukkanlah kesetiaanmu terhadap keturunanku sampai selama-lamanya. Setelah TUHAN membinasakan semua musuhmu,
16 semoga perjanjian antara kita berdua tetap kekal. Jika perjanjian itu dibatalkan, TUHAN akan menghukum engkau.”
17 Itulah kali kedua Yonatan minta Daud berjanji untuk mengasihinya, kerana dia sendiri mengasihi Daud seperti dirinya sendiri.
18 Kemudian Yonatan berkata kepadanya, “Esok Perayaan Bulan Baru. Jika engkau tidak hadir, tentu diketahui orang kerana tempatmu kosong di meja makan.
19 Jika lusa pun engkau tidak hadir, pasti engkau dicari. Oleh itu pergilah ke tempat persembunyianmu yang dahulu, lalu bersembunyilah di belakang timbunan batu di situ.
20 Lusa aku akan memanah tiga kali ke arah timbunan batu itu, seolah-olah timbunan itu suatu sasaran.
21 Kemudian aku akan menyuruh hambaku mencari anak panah itu. Jika aku berkata kepadanya, ‘Lihatlah, anak panah itu lebih dekat lagi ke mari, ambillah,’ itu bermakna bahawa engkau selamat dan boleh keluar. Aku bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa engkau tidak dalam bahaya apa pun.