9 Ahimelekh menjawab, “Saya menyimpan pedang Goliat, orang Filistin yang kamu bunuh di Lembah Ela. Pedang itu ada di belakang efod, dibungkus dengan kain. Jika kamu mahu pedang itu, ambillah, kerana hanya itulah senjata yang ada di sini.”Daud berkata, “Pedang itulah yang terbaik di seluruh negeri; berikanlah pedang itu kepada saya!”
10 Pada hari itu juga, Daud melarikan diri daripada Raja Saul, lalu pergi kepada Raja Akhis di kota Gat.
11 Para pegawai Raja Akhis berkata kepada baginda, “Bukankah dia ini Daud, raja di negerinya? Dialah yang dimaksudkan kaum wanita yang pada waktu itu menari-nari sambil bernyanyi begini, ‘Raja Saul membunuh beribu-ribu orang musuh, tetapi Daud membunuh berpuluh-puluh ribu orang musuh.’ ”
12 Kata-kata itu mengganggu fikiran Daud, dan dia menjadi sangat takut kepada Raja Akhis.
13 Oleh itu, di hadapan mereka Daud berpura-pura gila. Apabila mereka mencuba menahannya, dia seolah-olah kurang waras; dia menggores-gores pintu kota dan membiarkan air liurnya meleleh ke janggut.
14 Kemudian Raja Akhis bertitah kepada para pegawainya, “Tidakkah kamu nampak bahawa orang itu gila? Mengapa kamu membawa dia ke mari?
15 Masih kurangkah orang gila di sekeliling beta, sehingga kamu membawa seorang gila lagi ke istana beta?”