12 Apabila mereka tiba, Raja Saul bertitah kepada Ahimelekh, “Dengarlah, hai anak Ahitub!”“Ya, tuanku,” jawabnya.
13 Raja Saul bertanya kepadanya, “Mengapa kamu dan Daud bersepakat melawan beta? Mengapa kamu memberikan makanan dan pedang kepadanya? Mengapa kamu minta petunjuk daripada Allah baginya? Sekarang dia memberontak terhadap beta, dan sedang menunggu kesempatan untuk membunuh beta!”
14 Ahimelekh menjawab, “Tetapi bukankah Daud pegawai tuanku yang paling setia? Dia menantu tuanku sendiri, ketua pengawal peribadi tuanku dan sangat dihormati oleh semua orang di istana.
15 Memang hamba sudah bertanya kepada TUHAN baginya, tetapi itu bukanlah kali yang pertama. Tentang komplot terhadap tuanku, sekali-kali tidak! Tolong jangan tuduh hamba atau sesiapa pun anggota keluarga hamba. Hamba tidak tahu-menahu tentang hal itu!”
16 Raja bertitah, “Ahimelekh, kamu dan semua anggota keluargamu mesti mati.”
17 Selepas itu Raja Saul memberikan perintah kepada para pengawal yang berdiri di sisinya, “Bunuhlah imam-imam TUHAN ini! Mereka sudah berpakat dengan Daud, dan tidak memberitahu beta bahawa Daud sudah melarikan diri, walaupun mereka tahu selama ini.” Tetapi para pengawal itu tidak mahu membunuh imam-imam TUHAN itu.
18 Oleh itu Raja Saul bertitah kepada Doeg, “Engkau bunuhlah mereka!” Lalu Doeg membunuh semua imam itu. Pada hari itu dia membunuh lapan puluh lima orang imam yang berlayak memakai efod.