3 Dari gua itu Daud pergi ke Mizpa di negeri Moab. Dia berkata kepada raja Moab, “Tolonglah benarkan ibu bapa hamba tinggal dengan tuanku sehingga hamba tahu kehendak Allah untuk hamba.”
4 Oleh itu Daud membawa ibu bapanya kepada raja negeri Moab, dan mereka tinggal di sana selama Daud bersembunyi di gua.
5 Kemudian pada suatu hari seorang nabi yang bernama Gad datang kepada Daud dan berkata, “Jangan tinggal di gua ini. Pergilah dengan segera ke tanah Yehuda.” Lalu Daud meninggalkan tempat itu dan pergi ke hutan Keret.
6 Pada suatu hari Raja Saul sedang duduk di bawah pokok tamariska di atas bukit di Gibea; baginda sedang memegang tombak dan semua pegawai berdiri di sekelilingnya. Ketika baginda mendengar bahawa tempat Daud dan anak buahnya sudah dijumpai,
7 baginda bertitah kepada para pegawai, “Dengarlah, hai semua orang Benyamin! Adakah kamu fikir si Daud itu akan memberi kamu ladang dan ladang anggur? Adakah kamu semua akan diangkat menjadi pegawai dalam tenteranya?
8 Itukah sebabnya kamu bersepakat melawan beta dan tidak seorang pun memberitahu beta bahawa putera beta sendiri sudah memihak kepada si Daud itu? Tiada seorang pun antara kamu memikirkan diri beta. Tiada sesiapa antara kamu memberitahu beta bahawa Daud, anak buah beta sendiri, pada masa ini sedang menunggu kesempatan untuk membunuh beta, dan bahawa Yonatan, putera beta sudah memberikan galakan kepadanya!”
9 Doeg, ketua gembala ternakan Raja Saul, juga ada di situ dengan para pegawai raja, lalu Doeg berkata, “Hamba nampak Daud datang kepada Ahimelekh anak Ahitub, di Nob.