11 Adakah penduduk Kehila akan menyerahkan aku kepada Raja Saul? Benarkah Raja Saul akan datang sebagaimana yang aku dengar? Ya TUHAN, Allah Israel, aku mohon, jawablah aku!”TUHAN menjawab, “Ya, Raja Saul akan datang.”
12 Daud bertanya lagi, “Adakah penduduk Kehila akan menyerahkan aku dan anak buahku kepada Raja Saul?”TUHAN menjawab, “Ya.”
13 Oleh itu Daud serta anak buahnya, kira-kira enam ratus orang, segera meninggalkan Kehila dan mengembara dari satu tempat ke tempat yang lain. Apabila Raja Saul mendengar bahawa Daud sudah pergi dari Kehila, baginda membatalkan rancangannya.
14 Daud bersembunyi di tempat-tempat perlindungan di perbukitan, di padang gurun Zif. Dia selalu dikejar-kejar oleh Raja Saul, tetapi TUHAN tidak menyerahkannya kepada Raja Saul.
15 Daud takut kerana Raja Saul bertekad untuk membunuhnya.Pada suatu masa Daud berada di Hores, di padang gurun Zif.
16 Yonatan pergi menemuinya di situ dan menyakinkan dia bahawa Allah melindungi dia.
17 Yonatan berkata kepadanya, “Jangan takut, engkau tidak akan jatuh ke tangan bapaku. Dia tahu betul bahawa engkaulah yang akan menjadi raja Israel dan bahawa aku akan mendapat kedudukan di bawahmu.”