13 Oleh itu Daud serta anak buahnya, kira-kira enam ratus orang, segera meninggalkan Kehila dan mengembara dari satu tempat ke tempat yang lain. Apabila Raja Saul mendengar bahawa Daud sudah pergi dari Kehila, baginda membatalkan rancangannya.
14 Daud bersembunyi di tempat-tempat perlindungan di perbukitan, di padang gurun Zif. Dia selalu dikejar-kejar oleh Raja Saul, tetapi TUHAN tidak menyerahkannya kepada Raja Saul.
15 Daud takut kerana Raja Saul bertekad untuk membunuhnya.Pada suatu masa Daud berada di Hores, di padang gurun Zif.
16 Yonatan pergi menemuinya di situ dan menyakinkan dia bahawa Allah melindungi dia.
17 Yonatan berkata kepadanya, “Jangan takut, engkau tidak akan jatuh ke tangan bapaku. Dia tahu betul bahawa engkaulah yang akan menjadi raja Israel dan bahawa aku akan mendapat kedudukan di bawahmu.”
18 Kemudian Daud dan Yonatan mengikat janji persahabatan di hadapan TUHAN. Setelah itu Yonatan pulang ke rumahnya, sedangkan Daud tetap tinggal di Hores.
19 Kemudian beberapa orang dari Zif menghadap Raja Saul di Gibea dan berkata, “Daud bersembunyi di dalam wilayah hamba sekalian di tempat-tempat perlindungan di Hores, di atas Bukit Hakhila, di bahagian selatan padang gurun Yehuda.