19 Kemudian beberapa orang dari Zif menghadap Raja Saul di Gibea dan berkata, “Daud bersembunyi di dalam wilayah hamba sekalian di tempat-tempat perlindungan di Hores, di atas Bukit Hakhila, di bahagian selatan padang gurun Yehuda.
20 Hamba semua tahu bahawa tuanku hendak menangkap dia. Oleh itu datanglah ke wilayah hamba sekalian. Hamba semua menjamin bahawa tuanku akan menangkap dia.”
21 Raja Saul bertitah, “Semoga kamu diberkati TUHAN kerana berbuat baik kepada beta.
22 Pergilah dan pastikanlah sekali lagi. Siasatlah dengan sungguh-sungguh tempat Daud berada dan siapa yang sudah nampak dia di sana. Beta mendengar bahawa dia sangat licik.
23 Periksalah dengan teliti tempat-tempat yang menjadi persembunyiannya, lalu segeralah kembali untuk melaporkan perkara itu kepada beta. Lalu beta akan pergi bersama dengan kamu. Jika dia masih berada di kawasan itu, tentu beta akan memburunya walaupun beta harus menjelajahi seluruh Yehuda.”
24 Kemudian mereka pulang ke Zif mendahului Raja Saul. Pada masa itu Daud dan anak buahnya berada di padang gurun Maon, di lembah yang sunyi di bahagian selatan padang gurun Yehuda.
25 Raja Saul dan anak buahnya datang untuk mencari Daud, tetapi orang memberitahukan hal itu kepada Daud. Lalu Daud pergi ke suatu bukit berbatu di padang gurun Maon dan tinggal di situ. Apabila Raja Saul mengetahui perkara itu, baginda segera mengejar Daud.