3 Tetapi anak buah Daud berkata kepadanya, “Sedangkan di sini, di Yehuda, kita sudah ketakutan, apalagi kalau kita pergi ke Kehila dan menyerang orang Filistin!”
4 Oleh itu Daud bertanya lagi kepada TUHAN, dan TUHAN menjawab, “Pergilah dan seranglah kota Kehila, kerana Aku akan memberi engkau kemenangan terhadap orang Filistin.”
5 Kemudian Daud dan anak buahnya pergi ke Kehila lalu menyerang orang Filistin. Mereka membunuh banyak orang Filistin dan merampas ternakan mereka. Demikianlah Daud menyelamatkan penduduk kota itu.
6 Pada masa Abyatar anak Ahimelekh lari kepada Daud, dan menyertai Daud ke Kehila, dia juga membawa efod.
7 Raja Saul diberitahu bahawa Daud sudah pergi ke Kehila, lalu Raja Saul berkata dalam hati, “Sekarang Allah telah menyerahkan Daud ke dalam tanganku. Daud sudah terperangkap kerana masuk ke dalam kota yang bertembok dan mempunyai pintu gerbang yang berpalang.”
8 Oleh itu Raja Saul mengerah tenteranya dan berangkat ke Kehila untuk mengepung Daud bersama dengan semua anak buahnya.
9 Apabila Daud mendengar bahawa Raja Saul berniat untuk menyerang dia, dia berkata kepada Imam Abyatar, “Bawalah efod itu ke mari.”